Penyakit eczema, juga dikenali sebagai dermatitis, adalah kondisi kulit yang boleh menyebabkan masalah kekeringan, bersisik, kemerahan, dan gatal-gatal.
Walaupun masalah kulit ini lebih kerap menimpa golongan kanak-kanak, namun orang dewasa juga tidak terkecuali.
Anda mungkin pernah mendengar mengenai ekzema atopik, tetapi tahukah kalian terdapat 7 jenis penyakit eczema, dan masing-masing mempunyai simptom dan pemicu tersendiri?
Ikuti artikel ini untuk kenali jenis-jenis penyakit eczema, berserta simptom dan punca. Jom baca!
Penyakit eczema, 7 jenis untuk dikenal pasti!
Untuk makluman, ekzema kadangkala turut digelar dermatitis atopik, jenis yang acap kali berlaku,
‘Atopik’ merujuk kepada alergi/alahan. Individu dengan ekzema sering mengalami alahan atau asma bersama-sama kegatalan dan kemerahan kulit.
#1 Ekzema atopik
Ekzema atopik, atau dermatitis atopik, adalah jenis ekzema yang paling kerap terjadi.
Kondisi ini biasanya bermula di awal usia kanak-kanak dan bertukar jadi tahap lebih ringan atau hilang sepenuhnya menginjak umur dewasa.
Seperti yang disebut di atas, ‘atopik’ membawa maksud alergi, sebab itulah ekzema atopik adalah sebahagian daripada apa yang doktor sebut sebagai atopic triad.
Triad bermaksud 3, dan 2 lagi kondisi lain di dalam rangkaian ini merujuk kepada asma dan demam.
Kebanyakan orang yang menghidap ekzema atopik mempunyai ketiga-tiga kondisi ini.
Simptom-simptom
- Kulit gatal, kering, merekah, dan sakit
- Ruam timbul di lipatan siku atau lutut
- Kulit boleh menjadi lebih cerah, lebih gelap atau tebal di kawasan ruam muncul
- Bayi mungkin mendapat ruam pada kulit kepala atau pipinya
Punca
Ekzema atopik berlaku apabila pelindung kulit semula jadi anda menjadi lemah, lantas mengurangkan perlindungan daripada alergen dan perengsa.
Ia berkemungkinan disebabkan oleh gabungan faktor seperti berikut:
- Gen
- Kulit kering
- Masalah sistem imun
- Pencetus persekitaran seperti debu, debunga, dan bulu haiwan
#2 Dermatitis kontak
Sekiranya kulit bertukar menjadi kemerahan dan terengsa apabila menyentuh bahan tertentu, anda mungkin mengalami dermatitis kontak, juga disebut sebagai penyakit eczema kontak.
Terdapat 2 jenis dermatitis kontak: Alahan dan perengsa.
Allergic contact dermatitis adalah tindak balas sistem imun tubuh terhadap perengsa seperti lateks atau logam, sedangkan irritant contact dermatitis berlaku apabila bahan kimia atau faktor lain merengsakan kulit anda.
Simptom-simptom

- Kulit gatal, berubah menjadi kemerahan, seakan terbakar, dan menyengat
- Hives (ruam gatal) mungkin muncul pada kulit
- Lepuh berisi cecair boleh terbentuk- berpotensi pecah
- Lama-kelamaan kulit menjadi lebih tebal atau bersisik
Punca
- Bahan pencuci
- Peluntur
- Barang kemas
- Lateks
- Nikel
- Cat
- Tumbuhan merengsakan seperti poison ivy
- Alat solek
- Sabun dan minyak wangi
- Pelarut
- Asap tembakau
#3 Penyakit eczema dishidrotik
Ekzema dishidrotik, kadang-kadang turut dipanggil Pompholyx, sebabkan lepuh kecil terbentuk di tangan dan kaki. Ia juga lebih banyak menimpa golongan wanita berbanding lelaki.
Simptom-simptom
- Lepuh terasa gatal atau menyakitkan
- Lepuh berisi cecair di jari, jari kaki, telapak tangan, dan telapak kaki
- Kulit menjadi bersisik, mengelupas atau merekah
Punca
- Alahan
- Tangan dan kaki yang lembap
- Tekanan/stres
- Pendedahan kepada barang tertentu seperti nikel, cobalt, atau chromium salt
4. Dermatitis seborrheic
Dermatitis seborrheic memicu kemerahan, tompokan bersisik pada kulit dan kelemumur.
Selalunya menyerang kulit kepala tetapi ia juga boleh muncul di kawasan badan berminyak seperti muka, dada, dan belakang.
Simptom-simptom
- Kulit mungkin menjadi kemerahan dan gatal-gatal
- Rambut mungkin gugur
- Menimbulkan kulit bersisik yang berkeruping
- Tompok kulit berwarna putih atau kekuningan
- Kulit di kawasan yang terjejas menjadi berminyak
Punca
Hingga kini, punca sebenar dermatitis seborrheic masih tidak diketahui, tetapi ia dikatakan mungkin dipicu oleh 2 faktor utama.
Faktor pertama, minyak berlebihan di kulit bertindak sebagai perengsa. Faktor kedua pula, sejenis kulat yang ditemui secara semula jadi dalam minyak kulit.
Kulat ini kadangkala tumbuh secara abnormal, akibatkan kulit menghasilkan lebih banyak minyak daripada biasa.

5. Neurodermatitis
Neurodermatitis serupa seperti dermatitis atopik. Ia menyebabkan tompokan tebal dan bersisik muncul di permukaan kulit.
Simptom-simptom
- Tompokan ini boleh menjadi sangat gatal, terutamanya ketika anda sedang berehat atau tidur
- Jika ia digaru, boleh berdarah dan dijangkiti
- Tompokan tebal dan bersisik muncul di lengan, kaki, belakang leher, kulit kepala, bahagian bawah kaki, belakang tangan, atau alat sulit
Punca
Neurodermatitis biasanya terbentuk pada orang yang sudah pun mempunyai jenis ekzema atau psoriasis yang lain.
Doktor juga tidak dapat pastikan penyebabnya dengan tepat, walaupun faktor tekanan boleh menjadi pencetus.
6. Ekzema nummular
Ekzema ini menyebabkan tompokan berbentuk bulat seakan syiling pada kulit anda. Perkataan ‘nummular’ juga membawa maksud duit syiling dalam bahasa Latin.
Pun begitu, ekzema nummular kelihatan sangat berbeza jika dibandingkan dengan jenis lain, dan boleh akibatkan kegatalan.
Simptom-simptom
- Tompokan berbentuk bulat seakan syiling terbentuk pada kulit anda
- Tompokan boleh menjadi gatal atau bersisik
Punca
Penyakit eczema nummular dapat dipicu oleh reaksi gigitan serangga, atau oleh reaksi alahan terhadap logam mahupun bahan kimia. Kulit kering juga boleh menyumbang!
7. Dermatitis stasis
Dermatitis stasis berlaku apabila cecair keluar dari urat yang lemah ke dalam kulit anda. Cecair ini menyebabkan kebengkakan, kemerahan, kegatalan, dan kesakitan.
Simptom-simptom
- Bahagian bawah kaki mungkin membengkak
- Kaki anda terasa sakit atau berat
- Kulit di atas urat varikos akan mengering dan gatal
- Mengalami luka terbuka pada kaki
- Mungkin mempunyai urat varikos, urat kaki yang tebal dan rosak
Punca
Dermatitis stasis berlaku pada mereka yang alami masalah aliran darah di bahagian kaki bawah.
Sekiranya injap yang menolak darah ke atas melalui kaki ke arah jantung rosak, darah bakal terkumpul di kaki.





















