Penyakit COPD ialah salah satu punca utama morbiditi dan kematian di seluruh dunia. Hal ini kerana pesakit selalunya akan datang untuk menerima rawatan komplikasi seperti radang paru-paru tanpa mengetahui masalah kesihatan yang sebenar.
Kondisi tersebut merupakan salah satu komplikasi COPD yang bahaya jika tidak dirawat segera.
Untuk mengetahui kaitan antara dua penyakit ini dengan lebih lanjut, jom sama-sama kita ikuti artikel ini!
Apakah itu COPD?

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) merupakan satu gugusan penyakit paru-paru yang menyebabkan kesukaran pernafasan.
Biasanya, dua jenis COPD yang selalu didiagnosis ialah:
- Bronkitis kronik
- Emfisema
Kadangkala, terdapat segelintir individu yang akan menghidap gabungan antara kedua-dua kondisi ini.
Berdasarkan kajian, jumlah COPD tahap sederhana dan teruk di Malaysia ialah sebanyak 448,000 kes. Namun, jumlah ini masih dianggap rendah kerana kekurangan diagnosis dalam kalangan rakyat kita.
COPD dan radang paru-paru
Individu yang menghidap COPD lebih cenderung untuk mendapat radang paru-paru atau pneumonia.
Ia merupakan komplikasi yang sangat berbahaya untuk penderita COPD kerana ia boleh meningkatkan risiko kegagalan pernafasan.
Ketika mengalami kesukaran untuk bernafas, sebilangan individu selalunya tidak pasti sama ada gejala mereka disebabkan oleh radang paru-paru atau COPD yang semakin teruk.
Ini boleh menjurus kepada penangguhan rawatan dan meletakkan diri mereka dalam situasi yang lebih berbahaya.
Kenali perbezaan simptom COPD dan radang paru-paru
Ada kalanya, penyakit COPD boleh menjadi lebih teruk dan akut, dikenali sebagai eksaserbasi COPD.
Ketika tempoh ini, gejalanya boleh dikelirukan dengan radang paru-paru kerana kedua-dua gejala hampir serupa.
Antara gejala yang serupa ialah kesukaran untuk bernafas dan sesak dada. Oleh itu, persamaan gejala ini boleh mengakibatkan kekurangan diagnosis keradangan paru-paru dalam kalangan individu yang menghidap COPD.
Penghidap COPD harus berhati-hati dengan gejala yang lebih bersifat radang paru-paru, seperti:
- Demam bersuhu tinggi berserta badan menggigil
- Sakit dada lebih teruk daripada biasa
- Sakit kepala dan badan
Individu yang mengalami kedua-dua kondisi ini sering menghadapi masalah untuk bercakap kerana kekurangan oksigen.

Mereka juga mungkin mempunyai kahak yang lebih tebal dan warna yang lebih gelap. Kahak normal selalunya berwarna putih ataupun jernih.
Kahak untuk penderita COPD dan radang paru-paru boleh bertukar warna menjadi hijau, kuning atau dalam sesetengah kes bercampur dengan darah.
Selain itu, ubat preskripsi yang biasanya membantu melegakan gejala COPD tidak akan berkesan untuk keradangan paru-paru.
Bilakah saya harus berjumpa dengan doktor?
Anda seharusnya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala radang paru-paru seperti yang disenaraikan di atas.
Selain itu, berundinglah dengan doktor jika penyakit COPD anda berada di luar kawalan dan menjadi lebih teruk. Pekalah kepada sesetengah gejala seperti:
- Kesukaran bernafas semakin teruk, sesak nafas atau bunyi nafas yang mendesah
- Kegelisahan, kekeliruan, pencakapan yang tidak jelas dan kerengsaan
- Keletihan atau kelemahan badan yang tidak dapat dijelaskan lebih daripada sehari
- Perubahan warna, ketebalan dan jumlah kahak
Komplikasi radang paru-paru dan COPD
Mengalami radang paru-paru dan COPD dalam masa yang sama boleh mengakibatkan komplikasi yang serius serta merosakkan paru-paru dan organ utama yang lain untuk jangka masa panjang dan kekal.
Keradangan yang dialami dalam keadaan ini mengehadkan aliran udara anda dan boleh merosakkan paru-paru.
Ini boleh menjurus kepada masalah kegagalan pernafasan akut, suatu keadaan yang boleh membawa maut.
Kondisi ini boleh menyebabkan kekurangan oksigen atau hypoxia untuk penghidap COPD. Ini boleh menjejaskan organ lain seperti:
- Kerosakan buah pinggang
- Masalah jantung termasuklah strok dan serangan jantung
- Kerosakan otak kekal
Komplikasi yang muncul dalam kalangan penghidap COPD juga berkait dengan tahap keterukan penyakit tersebut.
Namun, rawatan awal boleh membantu untuk mengurangkan risiko ini.
Rawatan radang paru-paru untuk pesakit COPD

Dalam kebanyakan kes, individu yang terlibat haruslah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Pemeriksaan termasuklah:
- Pengujian sampel kahak
- Pengambilan sampel darah
- Pengimejan seperti sinar-X dada dan imbasan CT
Rawatan untuk kondisi ini bergantung kepada tahap keterukan penyakit. Antara rawatan yang selalunya diberikan ialah:
- Antibiotik secara intravena (IV)
- Steroid, mengurangkan keradangan dan membantu anda untuk bernafas dengan lebih elok.
- Rawatan pernafasan seperti nebulizer
- Bantuan oksigen tambahan dan ventilator
Mencegah lebih baik daripada merawat..
Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan individu yang menghidap COPD untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan komplikasi.
Antara langkah-langkah yang dicadangkan ialah:
- Mencuci tangan dengan lebih kerap.
- Dapatkan imunisasi tambahan seperti influenza, pneumonia, dan tetanus, difteria dan pertusis (DTaP).
- Ambil ubat preskripsi seperti yang ditetapkan oleh doktor anda.
- Usahalah untuk berhenti merokok jika anda masih merokok.





















