Wanita yang mempunyai sindrom ovari polisistik (PCOS) mempunyai kitaran haid yang terganggu dan tidak menentu berbanding wanita yang normal.
Namun, ia bukanlah satu perkara besar yang perlu dirisaukan kerana anda masih boleh mengawalnya dengan baik.
Bagi wanita yang mempunyai sindrom ini, ada beberapa cara kawalan kelahiran yang boleh membantu anda untuk mengawal simptom sindrom PCOS daripada terus berlaku.
Berikut adalah antara jenis-jenis kawalan kelahiran yang boleh membantu anda mengurangkan simptom yang terjadi.
Pil kontraseptif untuk wanita dengan sindrom ovari polisistik

Pil kontraseptif adalah pilihan yang paling berkesan dan juga paling biasa digunakan bagi mengawal simptom-simptom PCOS. Terdapat 2 jenis pil kontraseptif iaitu pil kombinasi dan juga pil progestin.
Kedua-duanya bukan hanya berkesan merawat simptom PCOS, tetapi juga boleh membantu anda berovulasi, mempunyai haid yang normal, dan mengurangkan kesakitan akibat haid.
Selain itu, pil ini juga berupaya mengurangkan kekejangan dan mencegah risiko beberapa jenis kanser.
Pil kombinasi
Pil kombinasi mengandungi kedua-dua estrogen dan progestin, dua hormon sintetik yang sama dengan hormon yang dihasilkan secara semula jadi oleh ovari anda.
Jumlah hormon yang terdapat dalam setiap pil berbeza-beza mengikut jenama. Anda boleh memilih pil dengan formula yang lebih rendah atau tinggi.
Pil progestin
Pil ini juga dikenali sebagai pil mini, adalah alternatif yang berkesan untuk wanita yang mempunyai PCOS dan tidak dapat mengambil pil kombinasi.
PCOS menyebabkan anda mempunyai tahap hormon progesteron yang rendah.
Pil progestin akan meningkatkan hormon progesteron anda, yang akan menyebabkan anda mempunyai kitaran haid yang normal selain menurunkan risiko kanser endometrium. Pil progestin boleh mengandungi sehingga 35 mcg progestin sintetik.
Patch kulit
Patch kontraseptif adalah sejenis patch plastik nipis yang mengandungi kandungan hormon estrogen dan progestin.
Anda perlu memakai patch selama 21 hari dan menanggalkannya selama tujuh hari untuk membolehkan kitaran haid berlaku, kemudian gantikan dengan patch yang baharu.
Seperti mana pengambilan pil, patch boleh membantu anda untuk:
- Berovulasi
- Mengawal kitaran haid
- Mengurangkan kembung perut dan kekejangan
- Mengurangkan jerawat
- Mengurangkan pertumbuhan bulu badan
- Merendahkan risiko untuk mendapat kanser
Kesan sampingan yang biasa berlaku termasuklah:
- Iritasi pada kulit
- Loya dan muntah-muntah
- Perubahan emosi
- Payudara mengalami pembengkakan
- Sakit kepala
- Pertambahan berat badan
- Tekanan darah tinggi
Gelung atau cincin faraj
Cincin kontraseptif (NuvaRing) adalah cincin plastik lembut dan fleksibel yang anda masukkan ke dalam faraj anda.
Anda perlu memakai cincin tersebut selama 21 hari, tanggalkannya selama 7 hari untuk kitaran haid anda berlaku, dan kemudian gantinya dengan yang baharu untuk bulan berikutnya.
Seperti mana penggunaan pil dan juga patch, cincin faraj juga boleh membantu anda untuk:
- Berovulasi
- Mengawal kitaran haid
- Mengurangkan kembung perut serta kekejangan perut
- Mengurangkan jerawat
- Mengurangkan bulu badan yang berlebihan
- Mengurangkan risiko anda untuk mendapat kanser
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku akibat pengambilan gelung faraj ini ialah:
- Sakit kepala
- Rasa pening kepala
- Loya tekak
- Payudara yang mengalami bengkak
- Keletihan
- Pertambahan berat badan
- Perubahan pada selera makan dan minum
Adakah penggunaan kaedah kawalan kelahiran ini boleh mengawal simptom sindrom ovari polisistik?

Kawalan kelahiran berbentuk kombinasi tidak kira sama ada dalam bentuk pil, cincin, atau patch, adalah kaedah rawatan yang paling popular dan disyorkan untuk PCOS.
Sekiranya anda tidak dapat mengambil pil kombinasi atau menggunakan kaedah kombinasi lain, doktor mungkin akan mengesyorkan pil progestin sahaja.
Terdapat juga beberapa alternatif lain, termasuklah:
- Terapi progesteron: Anda boleh mengambil progesteron selama 10 hingga 14 hari setiap satu hingga dua bulan. Rawatan ini tidak mencegah kehamilan atau meningkatkan tahap androgen, tetapi dapat membantu mengatasi simptom PCOS anda
- Peranti intrauterin yang mengandungi progestin (IUD): IUD yang mengandungi progestin dapat membantu meredakan gejala PCOS dengan cara yang sama seperti pil atau pil progestin sahaja
- Metformin: Ubat ini sebenarnya adalah untuk diabetes jenis 2, berjenama Glucophage, yang bertindak menurunkan tahap insulin dan androgen dan meningkatkan daya tahan insulin. Rintangan insulin biasanya berlaku dengan PCOS, dan metformin mungkin digunakan untuk mengubati masalah ini. Beberapa kajian menunjukkan bahawa ia dapat membantu menghidupkan semula ovulasi dan menyebabkan kitaran haid kembali normal
Kesimpulan
Kaedah kawalan kelahiran sememangnya dapat membantu mengawal gejala sindrom PCOS seperti haid yang tidak teratur. Ia juga boleh memberikan beberapa manfaat lain selain daripada meredakan gejala sindrom PCOS termasuklah mengurangkan risiko kanser.
Anda boleh menggunakan kaedah kawalan kelahiran ini sebagai salah satu cara untuk mengurangkan simptom sindrom PCOS yang anda alami.
[embed-health-tool-ovulation]




















