Kadar pertumbuhan dan perkembangan agak menurun sepanjang tahun bagi seorang kanak-kanak. Namun aspek pemakanan sihat untuk kanak-kanak masih perlu diutamakan.
Pada fasa ini juga merupakan tempoh di mana anak mula berkeinginan untuk makan dan minum secara berdikari tanpa bantuan ibu dan ayah.
Di samping itu, anak yang berusia 12 hingga 24 bulan akan melalui masa peralihan, iaitu mereka belajar makan di meja makan serta menerima rasa dan tekstur makanan baharu.
Penyusuan susu badan mahupun susu formula sememangnya sangat baik untuk seorang bayi.
Namun seiring peningkatan usia, keperluan nutrisi pemakanan kanak-kanak akan mula diperolehi daripada pelbagai sumber makanan.
Berdepan situasi anak cerewet untuk makan atau kesukaran untuk mengajar mereka tabiat pemakanan yang sihat adalah perkara normal.
Bahkan, anda mungkin akan berasakan seakan berada di medan perang. Bersabarlah!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Pemakanan sihat untuk kanak-kanak
Tabiat pemakanan yang sihat adalah penting, bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi semua peringkat usia.
Anak anda memerlukan nutrien yang betul untuk kekal sihat dan kuat. Ia juga membantu mereka untuk membesar dengan ceria.
Pemakanan sihat untuk kanak-kanak turut berperanan membentuk asas amalan pemakanan sihat dan pengetahuan aspek nutrisi yang akan diterapkan sepanjang hayat mereka.
Apakah nutrien yang diperlukan oleh kanak-kanak?
Cara mudah untuk memastikan bahawa kanak-kanak mendapat nutrien yang mereka perlukan adalah dengan memilih makanan sihat dan berkhasiat setiap hari.
Sebaiknya pilih protein tanpa lemak dari sumber seperti ayam, kekacang, makanan laut dan bijirin. Untuk bijirin, pilihlah makanan bijirin penuh seperti roti, bijirin, dan pasta yang tinggi serat.
Sarankan anak untuk mengambil lebih banyak hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
Cari produk tenusu rendah lemak seperti susu, keju, dan yogurt untuk orang dewasa dan anak-anak dalam keluarga anda.
Tetapi ingat, bagi kanak-kanak kecil di bawah usia 2 tahun, berikan susu penuh krim.
Tabiat pemakanan sihat
Secara amnya, kebanyakan anak berusia 2 hingga 3 tahun memerlukan pengambilan kira-kira 1,000 hingga 1,400 kalori setiap hari.
Berikut cara mengagihkan kalori dalam rancangan pemakanan sihat untuk kanak-kanak:
Kumpulan bijirin
Anak perlu mengambil kira-kira 85 hingga 142 gram bijirin setiap hari, yang terbaik adalah separuh daripadanya gandum penuh.
Sebagai contoh, 1 atau 2 keping roti ditambah 28 gram bijirin sarapan pagi bersama semangkuk nasi atau pasta.
Kumpulan sayuran
1 hingga 1 ½ cawan sayuran mentah atau dimasak setiap hari.
Seperti individu dewasa, kanak-kanak memerlukan pelbagai jenis sayuran termasuk sayuran berdaun hijau, berwarna oren atau merah, seperti brokoli dan ubi keledek.

Kumpulan buah
1 hingga 1 ½ cawan buah segar, sejuk beku atau kering setiap hari.
Hadkan pengambilan jus buah 100% antara 118 hingga 177 ml setiap hari.
Tekankan pengambilan buah daripada jus.
Galakkan pemakanan sihat untuk kanak-kanak dengan memberikan mereka buah oren, tembikai dan strawberi.
Kumpulan tenusu
2 hingga 2 ½ cawan setiap hari.
Susu penuh krim disyorkan untuk anak di bawah usia 2 tahun.
Manakala untuk kanak-kanak berusia 2 tahun ke atas, mereka mempunyai pilihan sama ada rendah lemak, tinggi kalsium seperti susu soya, yogurt atau keju.
Kumpulan protein
Untuk tabiat pemakanan yang sihat, kanak-kanak perlu mengambil protein pada kadar 57 hingga 113 gram sehari.
Campurkan makanan protein dengan daging tanpa lemak, ayam, makanan laut, telur, produk soya dan kekacang.
Baca juga:
Pemakanan Seimbang Bantu Tingkat Kemahiran Membaca Kanak-kanak






















