Penyusuan susu ibu adalah cara utama menyediakan bayi dengan nutrien yang mereka perlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan yang sihat. Hampir semua ibu boleh menyusu badan, dengan syarat mereka mempunyai maklumat yang tepat dan sokongan keluarga, sistem penjagaan kesihatan dan masyarakat.
Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia disambut setiap tahun daripada 1 hingga 7 Ogos untuk menggalakkan penyusuan badan dan meningkatkan kesihatan bayi di seluruh dunia. Ia memperingati Deklarasi Innocenti yang ditandatangani pada Ogos 1990 oleh pembuat dasar kerajaan, WHO, UNICEF dan organisasi lain untuk melindungi, mempromosikan dan menyokong penyusuan susu ibu.
Kepentingan penyusuan susu ibu
Penyusuan badan adalah cara terbaik untuk menyediakan bayi dengan nutrien yang diperlukan. Bahkan kolostrum, bentuk awal susu ibu dikenali sebagai ‘vaksin pertama’ kerana sangat kaya dengan nutrien dan antibodi. WHO mengesyorkan penyusuan eksklusif bermula dalam masa satu jam selepas lahir sehingga bayi berumur 6 bulan. Makanan pelengkap yang sihat kemudiannya akan ditambah di samping penyusuan badan sehingga 2 tahun atau lebih.
Susu badan dikaitkan dengan pengurangan risiko pelbagai masalah kesihatan bayi, daripada masalah perkembangan neurologi hinggalah kepada diabetes. Menurut UNICEF, ‘bayi yang menyusu secara eksklusif adalah 14 kali ganda lebih rendah berkemungkinan mati dalam enam bulan pertama berbanding bayi yang tidak menyusu badan’. Penyusuan badan secara menyeluruh di negara berpendapatan rendah dan sederhana boleh mencegah kematian kira-kira 823,000 kanak-kanak di bawah usia dua tahun, menurut satu kajian oleh Australian National University. Penyusuan badan juga memberi manfaat kepada para ibu, dengan kesan signifikan dalam mengurangkan risiko kanser payudara.
10 langkah ke arah penyusuan susu ibu yang berjaya
Tahukah anda, WHO dan UNICEF melancarkan Inisiatif Hospital Mesra Bayi untuk membantu menggalakkan penyediaan persekitaran yang melaksanakan 10 Langkah ke arah Penyusuan Susu Ibu yang Berjaya. 10 langkah ini meringkaskan dasar dan prosedur yang patut disediakan di mana-mana fasiliti ibu bersalin dan bayi baru lahir. Mengetahui 10 langkah ini membantu anda mengetahui hak anda sebagai ibu menyusu.
1.Prosedur pengurusan kritikal
1a. Mematuhi sepenuhnya Kod Pemasaran Antarabangsa Pengganti Susu Ibu dan resolusi Perhimpunan Kesihatan Dunia yang berkaitan.
1b. Mempunyai polisi makan bayi bertulis yang disampaikan kepada kakitangan dan ibu bapa secara rutin.
1c. Menubuhkan sistem pengawasan dan pengurusan data yang berterusan.

2. Memastikan kakitangan mempunyai pengetahuan, kecekapan dan kemahiran yang mencukupi untuk menyokong penyusuan susu ibu.

3. Membincangkan kepentingan dan pengurusan penyusuan susu ibu dengan wanita hamil dan keluarga mereka.

4. Membantu sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan anak sesegera mungkin tanpa gangguan untuk memulakan penyusuan secepat mungkin selepas lahir.

5. Menyokong ibu memulakan dan mengekalkan penyusuan susu ibu dan menguruskan kesukaran yang biasa berlaku.

6. Jangan berikan bayi yang baru lahir sebarang makanan atau cecair selain susu ibu, melainkan terdapat keperluan perubatan.

7. Membolehkan para ibu dan bayi mereka berada dalam bilik yang sama 24 jam sehari.

8. Menyokong ibu untuk mengenali dan memberi tindak balas kepada isyarat menyusu bayi mereka.

9. Menasihati para ibu mengenai risiko penggunaan botol susu, puting botol dan puting kosong.

10. Menguruskan waktu keluar supaya ibu bapa dan bayi mereka mempunyai akses untuk sokongan dan penjagaan yang berterusan pada masanya.

Terdapat bukti bahawa pelaksanaan 10 langkah ini dapat meningkatkan kadar penyusuan susu ibu dengan signifikan. Kajian sistematik daripada 58 kajian mengenai rawatan selepas bersalin dan bayi yang baru lahir yang diterbitkan pada tahun 2016 menunjukkan dengan jelas bahawa pematuhan kepada 10 langkah ini memberi kesan kepada pemberian susu bayi selepas kelahiran, penyusuan eksklusif dan tempoh penyusuan susu ibu.
[embed-health-tool-vaccination-tool]





















