Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, perhimpunan ramai amat ditegah sama sekali.
Ini termasuklah aktiviti keagamaan seperti solat berjemaah di masjid, majlis berbuka puasa mahupun solat Tarawih.
Solat Tarawih di rumah masih lagi boleh dilakukan secara berjemaah bersama ahli keluarga.
Jadikan solat Tarawih masa terbaik bersama keluarga

Sebelum ini, ramai di antara kita yang mungkin tidak sempat untuk bersolat Tarawih secara berjemaah akibat kekangan kerja atau keletihan setelah pulang dari kerja.
Apatah lagi ingin melaksanakan solat Tarawih di rumah bersama ahli keluarga.
Buat masa sekarang, kita mungkin tidak berkemampuan untuk solat Tarawih berjemaah di masjid atau surau, namun ia bukan alasan untuk tidak berjemaah di rumah.
Antara kelebihan solat Tarawih di rumah bersama keluarga yang boleh anda dapati ialah:
#1. Berperanan sebagai ketua keluarga
Apabila ayah mengajak isteri dan anak-anak untuk solat Tarawih di rumah, ia secara tidak langsung mengembalikan kepercayaan ahli keluarga terhadapnya sebagai seorang ketua keluarga.
Tanggungjawab ini termasuklah dalam membimbing ahli keluarga untuk bersama-sama mendapatkan kebaikan sewaktu bulan Ramadan, seperti melakukan solat Tarawih.
#2. Meneruskan rutin solat Tarawih setiap tahun
Apa pun keadaan yang mendatang, termasuklah penularan wabak COVID-19, solat Tarawih masih boleh dilaksanakan.
Hanya memerlukan pendekatan yang sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.
Suasana solat Tarawih berjemaah di masjid sebelum ini masih boleh dihidupkan dengan cara melakukannya secara berjemaah di rumah pula.
Ia secara tidak langsung meneruskan dan menghidupkan suasana Ramadan pada tahun ini tanpa masalah.
#3. Menambahkan kasih sayang
Apabila solat Tarawih dilakukan secara berjemaah bersama keluarga, ia sebenarnya membantu mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.
Setelah selesai bersolat, ahli keluarga bersama-sama menadah tangan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan masing-masing.
Kelebihan solat Tarawih kepada tubuh manusia

Selepas kita berbuka puasa, kita akan menunaikan solat Maghrib dan seterusnya solat Isyak.
Kemudiannya, kita akan bersama-sama melakukan solat Tarawih di rumah dengan ahli keluarga.
Tahukah anda, di samping mengumpulkan pahala daripada solat Tarawih, anda juga sebenarnya memperoleh manfaat pada kesihatan tubuh anda.
Apakah kelebihan solat Tarawih kepada tubuh manusia?
Sebelum anda berbuka puasa, tahap gula darah dan juga insulin berada pada tahap terendah dalam tubuh anda.
Selepas anda berbuka puasa, paras gula darah dan juga plasma insulin akan mula meningkat naik dalam tubuh.
Pada ketika ini juga, hati dan juga otot badan akan mula memproses dan mengedarkan glukosa yang ada dalam tubuh.
Gula darah akan mula berada pada tahap yang tinggi dalam tempoh 1 atau 2 jam selepas berbuka.
Pada ketika anda melakukan solat Tarawih, glukosa yang sedang beredar dalam tubuh anda akan dimetabolisme menjadi karbon dioksida dan juga air.
Secara tidak langsung, solat Tarawih membantu membakar lebih banyak kalori dan meningkatkan fleksibiliti serta koordinasi tubuh.
Selain itu juga, solat Tarawih membantu mengurangkan tindak balas autonomi berkaitan tekanan bagi individu yang sihat dan mengurangkan kegelisahan serta kemurungan yang dialami.
Solat yang dilakukan ini adalah seumpama 1 senaman setelah anda berbuka puasa.
Ia membantu meningkatkan kecergasan fizikal tubuh badan, kesejahteraan emosi dan juga memanjangkan umur.
Kelebihan solat Tarawih yang lain

Selain itu, terdapat juga beberapa manfaat lain solat Tarawih yang mungkin anda perlu tahu. Antaranya ialah:
- Membantu mengembalikan kekuatan otot bagi individu yang telah berusia. Apabila seseorang itu telah berusia, senaman fizikal mereka biasanya semakin berkurangan. Ia kemudiannya menjadikan tulang mereka menipis. Pergerakan yang berulang-ulang sewaktu melakukan solat Tarawih mampu memperbaiki fleksibiliti sendi, kekuatan otot serta kekuatan tendon.
- Pergerakan secara berulang kali dan banyak kali sewaktu melakukan solat Tarawih membantu membakar kalori yang diperoleh sewaktu berbuka puasa
- Solat fardu dan solat Tarawih selepas berbuka puasa membantu mencernakan makanan yang telah dimakan dengan lebih mudah
- Antara kelebihan solat Tarawih yang lain ialah ia mampu meningkatkan stamina, keyakinan diri serta memberikan ketenangan pada mental seseorang
Kesimpulan
Apabila kita melakukan solat Tarawih, kita bukan sahaja mendapat manfaat dari segi spiritual, malah juga fizikal.
Selain memperoleh pahala berganda yang dijanjikan, solat Tarawih secara umumnya membantu tubuh untuk mengawal gula darah, membakar lebih banyak kalori serta memberikan manfaat dari segi kesejahteraan mental.
Teruskan melakukan solat Tarawih di rumah bersama ahli keluarga anda.
Mungkin Ramadan pada tahun ini akan memberikan manfaat serta kelebihan solat Tarawih yang berbeza kepada anda berbanding tahun-tahun yang sebelumnya.
Inilah peluang untuk anda menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga di rumah.
[embed-health-tool-bmi]





















