Adakah anda tahu apakah punca kanser perut terjadi dan cara mengurangkan risiko kanser ini? Semak artikel ini untuk mengetahui mengenainya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.
Punca kanser perut
Kanser perut berlaku apabila sel-sel barah berkembang pada lapisan dalam dinding perut dan kemudiannya menembusi bahagian dinding lebih dalam ketika barah berkembang.
Pengembangan tumor itu juga boleh melibatkan organ berdekatan seperti hati dan pankreas.
Tanda kanser perut
Sebelum mengetahui cara mengurangkan risiko kanser perut, ini antara simptom yang mungkin akan dialami:
- Senak perut
- Perut kembung selepas makan
- Pedih ulu hati
- Sedikit mual
- Hilang selera makan
Apabila tumor semakin membesar, gejala lebih serius boleh terjadi seperti:
- Kesakitan perut
- Najis berdarah
- Muntah
- Kehilangan berat tanpa sebab
- Kesukaran menelan
- Mata atau kulit kekuningan
- Perut membengkak
- Sembelit atau cirit-birit
- Lemah badan
Punca kanser perut: Fahami faktor risiko
Beberapa perkara boleh meningkatkan risiko untuk mengalami kanser perut, termasuklah:
Umur
Individu berusia lebih 50 tahun lebih cenderung mengalami barah perut.
Jantina
Individu lelaki 2x lebih berisiko mendapat barah ini berbanding wanita.
Etnik
Individu Asia, Kepulauan Pasifik, Hispanik dan Afrika-Amerika lebih cenderung mengalami keadaan ini.

Jangkitan
Helicobacter pylori (H.pylori) sejenis bakteria yang sering menjangkiti perut dan cenderung menjadi punca kanser perut.
Virus Epstein-Barr, kuman yang menyebabkan mononukleosis berjangkit (mono) turut menjadi penyumbang.
Pembedahan
Selepas rawatan ulser, asid perut akan kurang dihasilkan, sekali gus membolehkan pertumbuhan lebih banyak bakteria. Dari tahun ke tahun, ia boleh menyebabkan barah.
Isu perut
Masalah anemia pernisius dan kekurangan asid perut untuk mencerna makanan – achlorhydria, meningkatkan risiko untuk mendapat barah perut.
Diet harian, jadi punca barah perut
Kerap mengambil makanan disalai, masin dan jeruk atau daging diproses menyebabkan anda lebih berisiko untuk barah perut.
Tembakau
Risiko barah meningkat seiring peningkatan jumlah rokok yang dihisap.
Alkohol
Minuman ini boleh menjadi punca pengembangan barah lebih cepat.
Jenis darah
Ramai individu dengan darah jenis A mengalami barah ini. Individu dalam kumpulan ini juga berkemungkinan lebih cenderung dijangkiti H.pylori.
Polip perut
Ketumbuhan dalam perut ini biasanya tidak berbahaya tetapi terdapat jenis polip tertentu dikenali sebagai adenoma boleh berubah menjadi kanser.
Tempat kerja
Persekitaran tempat kerja dengan arang, getah atau logam meningkatkan risiko barah perut.
Genetik
Kesilapan pada genetik seperti CDH1 atau APC turut meningkatkan risiko untuk kanser perut. Sejarah keluarga dengan barah payudara atau ovari menjadikan anda lebih berisiko.
Sejarah keluarga
Jika ibu bapa atau adik beradik dan anak menghidap kanser perut, risiko anda juga meningkat.
Baca juga:
https://hellodoktor.com/kanser/kanser-perut/ketumbuhan-dalam-perut/
8 tip mengurangkan risiko kanser perut
Tiada jaminan untuk dapat mencegahnya, namun ada beberapa perkara boleh membantu mengurangkan risiko barah perut, seperti:
Pemeriksaan ulser
Sekiranya anda mempunyai ulser, doktor akan memeriksa bagi menentukan sama ada terdapat bakteria H.pylori atau tidak dan merawatnya bagi mengurangkan risiko kanser perut.
Ini kerana H.pylori juga karsinogen – boleh menyebabkan barah.
Ubah tabiat pemakanan bantu cegah punca kanser perut
Pastikan setiap hidangan merangkumi buah-buahan dan sayuran segar.
Oren, lemon dan limau gedang antara pilihan yang baik. Tetapi sebelum mengambil limau gedang, dapatkan kepastian dengan doktor jika buah ini akan menjejaskan ubat yang anda ambil, seperti statin – berfungsi menurunkan kadar kolesterol LDL atau jahat.

Disarankan juga untuk memperbanyakkan pengambilan ikan, daging ayam tanpa lemak, kekacang serta roti, pasta dan bijirin gandum.
Kurangkan makanan salai
Untuk mengurangkan risiko kanser perut, hadkan pengambilan makanan salai dan jeruk serta daging atau ikan masin.
Buang habit tidak sihat untuk cegah punca kanser perut
Merokok menyebabkan anda berisiko untuk pelbagai kanser termasuklah barah perut.
Jadi berhenti merokok dan elakkan juga menjadi perokok pasif.
Bersenam
Senaman memberikan manfaat kesihatan secara keseluruhan.
Kekal cergas dan aktif dapat menurunkan risiko anda untuk mengalami pelbagai jenis barah dan masalah kesihatan lain.
Mengurangkan risiko kanser perut dengan cara kawal berat badan
Individu dengan berat badan berlebihan lebih cenderung mendapat barah perut, jadi kawal berat badan anda.
Sekiranya tidak pasti berat badan seimbang untuk anda, dapatkan kepastian daripada doktor.
Penggunaan ubatan
Anda mungkin ada mengambil aspirin, ibuprofen atau ubatan daripada farmasi untuk mengurang dan melegakan kesakitan, demam atau bengkak.
Tetapi anda tidak boleh mengambil ubatan tersebut untuk mencegah punca barah perut kerana ia boleh mengakibatkan pendarahan dalaman.
Jika tidak pasti, bertanyakan kepada doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.
Ujian genetik
Melakukan ujian genetik dapat membantu menentukan jika anda pembawa genetik yang meningkatkan risiko kepada barah perut seperti genetik CDH1 dan sindrom Lynch.
Sekiranya terdapat ketidakpastian mengenai keadaan diri, anda disyorkan untuk melakukan rundingan doktor untuk pemeriksaan lebih mendalam.






















