Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Baru-baru ini, tular satu lagi mesej hangat berkenaan suntikan vaksin COVID-19. Mesej tersebut menyatakan bahawa, vaksin COVID-19 boleh menyebabkan 3,000 kesan sampingan kekal kepada penerima vaksin.
Adakah benar terdapat kesan sampingan yang bersifat kekal?
[covid_19]
Adakah suntikan vaksin COVID benar-benar selamat?
Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat telah menegaskan bahawa negara itu mempunyai satu sistem keselamatan vaksin yang boleh dipercayai dalam meluluskan setiap vaksin COVID-19.
CDC juga menyatakan, oleh sebab itu, Pentadbiran Makanan & Ubat (FDA) berkemampuan untuk meluluskan penggunaan kecemasan bagi vaksin COVID-19 ini.
Ketika vaksin COVID-19 menjalani ujian klinikal yang melibatkan ribuan sukarelawan, setiap sukarelawan ini dipantau tahap kesihatannya oleh para penyelidik sepanjang tempoh ujian percubaan itu.
Jika salah seorang daripada sukarelawan ini jatuh sakit atau menemui maut sepanjang tempoh ujian percubaan, pakar kesihatan akan menyiasat sama ada kesakitan dan juga kematian tersebut berkaitan dengan vaksin COVID-19 atau tidak.
Ini yang terjadi sewaktu percubaan vaksin COVID-19 keluaran Oxford-Astrazeneca di mana terdapat satu kematian direkodkan pada ketika itu.
Ujian klinikal mereka dihentikan buat sementara waktu untuk menyiasat punca kematian sukarelawan itu.
Namun, setelah diselidiki, ternyata kematian sukarelawan itu tidak berkaitan atau berpunca daripada suntikan vaksin.
Selain itu, untuk memastikan kajian dan ujian klinikal vaksin COVID-19 ini benar-benar selamat, terdapat satu badan pemantau bebas bagi memantau ujian klinikal vaksin yang dijalankan.
Mereka yang berada dalam badan pemantau ini adalah mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan kajian tersebut untuk memastikan pemantauan benar-benar telus.
Ramai yang kata suntikan vaksin COVID selamat, tetapi mengapa ada kesan sampingan?

Setiap ubat atau rawatan yang kita ambil, pastinya mempunyai beberapa kesan sampingan. Begitu juga dengan vaksin, ia juga mempunyai beberapa kesan sampingan.
Namun, walaupun wujud kesan sampingan hasil daripada suntikan vaksin ini, tidak bermakna bahawa ia tidak selamat.
Vaksin COVID-19 tetap selamat untuk diambil walaupun mempunyai beberapa kesan sampingan yang dilaporkan.
Ini kerana, vaksin disahkan selamat untuk digunakan sekiranya kesan sampingannya itu tidak menyebabkan sebarang kejadian buruk yang serius.
Vaksin yang tidak selamat pula adalah vaksin yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang individu tersebut.
Antaranya adalah seperti menyebabkan ketidaksuburan atau boleh menyebabkan jangkitan baharu.
Namun, vaksin COVID-19 yang telah diluluskan tidak mempunyai kesan sampingan seperti itu melainkan hanya kesan sampingan yang bersifat ringan.
Kesan sampingan suntikan vaksin COVID bersifat ringan, hanya sementara waktu
Setakat ini, pihak FDA telah meluluskan dua vaksin yang dikeluarkan oleh Pfizer-BioNTech serta Moderna untuk penggunaan kecemasan.
Artikel berkaitan:























